June 6
Di akhir program…
Oleh: ii_shah
“Usrah yang sebenar bermula selepas tasbih kifarah sehingga al fatihah”
Semalam di dalam dauroh, saya terdengar lagi kata-kata ini diucapkan. Dahulu rakan saya mengucapkannya di dalam usrah. Maksudnya tarbiyah yang sebenar berlaku selepas program tamat. Waktu itulah kita proses balik apa yang dipelajari. Semasa itu jugalah mungkin baru kita lihat sejauh mana ia menusuk jauh ke dalam hati kita dan seterusnya menggerakkan anggota badan kita untuk bertindak.
Ada benarnya juga kata-kata itu. Mungkin atas dasar itulah di akhir program, saya selalu sudah menjadi tidak keruan. Selalunya saya akan menjadi muram dan agak ‘restless’. Orang mungkin akan sibuk bergambar dan sebagainya, namun saya sudah pening memikirkan apa yang harus saya buat sebaik melangkah keluar. Mungkin juga saya muram kerana memikirkan
“Kenapalah aku tak buat kerja selama ini?”
Tadi saya pulang paling awal berbanding orang-orang lain, sedangkan azan sudahpun berkumandang dan rumah saya tak jauh pun dari tempat program itu berlangsung. Selama ini, saya tahankan jua, tapi entah kenapa hari ini semangat berkobar-kobar untuk keluar dan bertindak.
Harap rakan-rakan seperjuangan saya memahami dan memaafkan saya kerana agak “selfish” pula kali ini, meninggalkan program begitu sahaja (adalah juga bantu mengemas sebelum pulang, tetapi sangat minimum sumbangan saya kali ini). Maaf banyak-banyak! Saya harus bertindak sementara api di dalam dada saya ini menyala marak. Bukannya apa, api itu selalu cepat padam dan saya tidak mahu ia padam atau semakin mengecil selepas ini.
Bercakap pasal pulang awal, saya teringat sewaktu saya mula-mula menghadiri program. Saya ikuti satu Tamrin dengan rakan-rakan. Tempatnya memang agak jauh daripada tempat tinggal saya, tetapi pada waktu itu saya mengalah dan menjadi orang terakhir untuk meninggalkan tempat itu. Saya biarkan orang lain dihantar pulang ke stesen komuter terlebih dahulu kerana esoknya saya tiada kelas dan walaupun jauh, saya hanya perlu menaiki komuter untuk sampai ke rumah. Sedangkan orang lain harus bertukar kenderaan awam untuk sampai ke destinasi masing-masing. Mungkin juga waktu itu api yang dinyalakan tidak cukup marak untuk saya bertindak. Maklumlah, mungkin saya ni jenis yang lambat sedikit nak proses maklumat.
Tetapi ada hikmahnya juga saya menjadi di antara orang yang terakhir waktu itu. Tiba-tiba ustaz berkata kepada kami semua kumpulan yang terakhir untuk pulang:
“Awak free tak esok? Esok saya nak cerita isk dengan pelajar-pelajar universiti xyz di qrst.” “Awak boleh bantu-bantu mereka nanti. Diorang first time nak dengar ni.”
“ Tapi saya sendiri tak pernah dengar isk lagi ustaz. Saya sendiri tak faham, macam mana nak bantu mereka pula?”
“ Oh, kalau awak belum dengar lagi, lagi bagus. Boleh awak dengar esok.”
“Nak pergi tak? Rumah awak kat mana? Dekat je qrst dengan rumah awak kan?”
“A’ah, dekat je. InsyaAllah ustaz.”
Jadi, alhamdulillah, esoknya dengan izinNya, Allah
telah permudahkan langkah saya untuk ke sana seorang diri. Ibu pun tak banyak soal. Saya beranikan diri juga untuk ke tempat yang dituju buat pertama kali. Nasib baik tak tersesat dan berpatah balik. Sempat juga berkenalan dengan rakan-rakan baru. Saya tak pula rasa janggal waktu itu walaupun mereka sudah mengenali antara satu sama lain. Alhamdulillah, apa yang saya dapat kali itu melekat di hati saya. Walaupun kefahaman saya waktu itu seperti jigsaw puzzle yang berterabur dan tidak tersusun, namun dengan apa yang saya dapat itulah saya dapat berkongsi dengan rakan-rakan saya yang lain. Syukur. Mungkin sesat sikit mad’u saya ketika itu, kerana penyampaian saya sedikit berbeza, namun alhamdulillah, mereka masih di jalan ini dibantu oleh kakak usrah mereka yang juga rakan baik saya kini. Sekurang-kurangnya mereka tak sesat lagi..hehe..malah lebih jelas hala tuju mereka. Mungkin juga mereka melalui jalan highway yang lebih pantas berbanding saya kali ini…syukur.
Semoga Allah
kuatkan kami supaya terus berada di jalan ini. InsyaAllah.
